Ibu... ratu hatiku

Dicatat oleh alkhair | Label: | Posted On Jumaat, Januari 21, 2011 at 3:49 PTG



“Mak”… “ibu”… “umi”… “mama”… “bonda”… dan yang sewaktu dengannya, adalah panggilan kepada insan yang banyak berkorban dalam sesebuah keluarga selepas bapa. Entah kenapa ketika ini minda alkhair terfokus untuk posting entri berkaitan tentang tajuk ni. Mungkin setelah membaca sebuah buku bertajuk “Dahsyatnya Doa Ibu”. Buku tersebut walaupun telah berulang-ulang kali dibaca namun tak jemu kerana banyak dipaparkan kisah-kisah yang boleh dijadikan iktibar bagi seorang anak terhadap kedua orang tuanya terutama ibu.
                Alkhair nak berkongsi dengan para pembaca budiman sekalian serba sedikit di antara pengajaran dan iktibar yang boleh diambil buku tersebut. Penulisnya ialah ust. Syamsuddin Noor. Semoga Allah s.w.t. merahmati beliau…
                Doa merupakan senjata orang mukmin. Hubungan seseorang hamba dengan penciptanya akan lebih hampir lagi apabila doa yang dipohonkan penuh kesungguhan dan pengharapan. Orang kata mulut seorang ibu “masin”. Bukan sebab lebih makan garam… tapi doanya lebih didengari oleh Allah s.w.t. Satu kisah di mana seorang warak lagi alim bernama Juraij yang ingin bermusafir demi menuntut ilmu. Juraij adalah anak kepada seorang ibu tunggal yang telah tua. Ibunya tiada tempat mencurahkan kasih sayang selain kepada anaknya yang seorang itu walaupun Juraij telah dewasa. Demi mencapai cita-citanya, Juraij telah meninggalkan ibunya walaupun berat hati seorang ibu hendak melepaskan pemergian anaknya itu. Juraij tetap berkeras untuk bermusafir meninggalkan ibunya yang tidak henti-henti merayu agar hajat anaknya itu ditangguhkan dahulu. Dalam esak tangis sang ibu berdoa kepada Allah s.w.t. agar anaknya mendapat pengajaran.
                Ketika tiba disebuah perkampungan, Juraij telah singgah di sebuah masjid lalu melaksanakan solat sunat. Pada masa yang sama telah berlaku kecurian di kampung tersebut. Orang-orang kampung telah dapat menjejaki pencuri itu lalu mengejarnya. Si pencuri telah masuk ke dalam masjid di mana Juraij ada di situ. Si pencuri mendapat ilham untuk mengelirukan orang-orang yang mengejarnya lalu telah menuduh Juraij adalah pencuri yang dikehendaki.
                Juraij telah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Sidang mahkamah memutuskan bahawa Juraij bersalah dan dijatuhkan hukuman potong kedua belah tangan dan kaki serta dicungkil biji matanya. Setelah hukuman dilaksanakan, Juraij dibawa berarak mengelilingi kampung sebagai pengajaran kepada orang lain. Apabila dikatakan, “Beginilah hukuman kepada mereka yang melakukan jenayah.” Juraij lalu mencelah dengan berkata, “Beginilah hukuman kepada mereka yang derhaka kepada ibunya.” Orang ramai menjadi hairan. Apabila diselidiki latar belakang Juraij, rupa-rupanya dia bukanlah penjenayah yang dikehendaki. Juraij pun dihantar pulang ke rumah ibunya.
                Di hadapan pintu rumah ibunya, berlaku dialog antara Juraij dan ibunya,
Juraij     : Assalamualaikum. Ibu, beri aku sedikit makanan kerana aku lapar.
Ibu         : Waalaikumussalam. Siapa?
Juraij     : Aku musafir yang berkelana.
Ibu         : Datanglah mendekati pintu, aku telah letakkan makanan di situ.
Juraij     : Aku tak boleh berjalan kerana tiada kaki.
Ibu         : Hulurkanlah tanganmu.
Juraij     : Aku juga tidak bertangan.
Ibu         : Bagaimana aku boleh memberi makanan kepadamu?
Juraij     : Ibu suapkan makanan itu kepadaku.
Ibu         : Bagaimana aku boleh berbuat demikian sedangkan aku tak mengenalimu lagipun akan menimbulkan fitnah!
Juraij     : Ibu jangan khuatir kerana aku tidak boleh melihat.
Ibu         : Baiklah, aku akan keluar.
Alangkah terperanjatnya sang ibu apabila orang itu adalah anaknya, Juraij. Berjumpalah semula sang ibu dengan anak yang dikasihinya. Juraij merebahkan kepalanya ke riba ibunya sambil tidak henti-henti memohon keampunan di atas kesalahan yang dilakukan terhadap ibunya. Si ibu tidak sampai hati melihat keadaan anaknya yang sangat menyayat hati itu lalu si ibu pun berdoa agar rohnya diambil bersama-sama anak kesayangannya itu. Allah s.w.t. menerima doa ibu tersebut..
Begitulah dahsyatnya doa ibu. Kisah di atas boleh kita jadikan iktibar. Wallahu a’lam.

Comments:

There are 4 ulasan for Ibu... ratu hatiku

Catat Ulasan

Sila komen untuk penambahbaikan..