Artikel terbaik aku untuk pertandingan artikel junko

Dicatat oleh alkhair | Label: | Posted On Rabu, Januari 19, 2011 at 2:20 PTG



Seminggu sekali, Sebulan 4 kali, setahun??
 
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu sekali-kali mati kecuali dalam keadaan Muslim (beragama Islam).” – Surah Ali ‘imran 3:102 - . Begitulah antara kata-kata khatib di mimbar Jumaat. Mengapa Alkhair ketengahkan persoalan ini? Alkhair nak mengajak diri sendiri dan para pembaca budiman (khususnya muslimin) agar menghayati nasihat khatib setiap Jumaat tentang taqwa. Sesungguhnya taqwa sangat penting sebab itulah nasihat tentang taqwa ini terus diulang berkali-kali setiap kali Jumaat. Malahan di dalam al-Quran perkataan yang berkaitan taqwa kepada Allah s.w.t. disebut sebanyak 272 kali. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya taqwa dalam kehidupan individu muslim dan mukmin. Nilaian Allah s.w.t. terhadap hambaNya juga adalah berdasarkan ketaqwaan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu adalah yang paling bertaqwa.” – Surah al-Hujurat 49:13 - . Oleh yang demikian, penanda aras kemuliaan manusia adalah taqwa itu sendiri.
………..
Taqwa?? Apa ye?? Dari segi bahasa, taqwa bererti pemeliharaan, penjagaan atau perlindungan. Bermakna seseorang yang bertaqwa itu akan ada dalam hatinya perasaan waspada daripada melakukan perkara-perkara dosa sama ada besar atau kecil yang boleh memudaratkan agama. Bermulanya taqwa itu adalah menjaga diri daripada kemusyrikan, dosa dan kejahatan serta hal-hal yang meragukan (syubhah). Antara perkara-perkara yang memudaratkan agama ialah perkara-perkara yang jelas haram, dan perkara-perkara halal yang diambil secara berlebihan.
………..
Camana nak capai taqwa ye?? Macam mudah tapi sebenarnya perlu melalui pelbagai proses yang berterusan. Imam al-Ghazali telah membahagikan taqwa itu kepada dua bahagian iaitu:
1. Taqwa fardu – istiqamah dan taat menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram.
2.  Taqwa adab – menahan diripada berlebih-lebihan dengan perkara yang halal kerana takut dihisab dan malu kepada Allah s.w.t. pada hari kiamat kelak.
Mari kita hayati analogi para sahabat nabi berkenaan taqwa.
1. Ubay bin Ka’ab apabila ditanya oleh Saiyidina Umar r.a. tentang taqwa maka dijawab: “Pernahkah kamu melalui jalan yang berduri?” Umar menjawab: “Ya, pernah.” Ubay menyambung: “Lalu apa yang kamu lakukan?” Umar menjawab: “Aku berhati-hati, waspada dan penuh keseriusan.” Maka Ubay berkata: “Maka demikianlah juga taqwa!”
2.       Abu al-Darda’ r.a. pernah berkata: “Kesempurnaan taqwa itu adalah apabila seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah s.w.t. (arahan dan laranganNya) walaupun dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekalipun kerana takut jatuh kepada perkara yang haram.”
Ayuh, marilah kita renungkan adakah apa yang kita rasai sama seperti yang dirasai oleh para sahabat tentang taqwa sebagaimana sirah di atas.
Antara kelebihan orang yang bertaqwa:
1.Mendapat bantuan dan perlindungan Allah s.w.t.
2.Allah s.w.t. akan menyelesaikan segala masalah dan mempermudahkan rezeki hambaNya.
3.Mendapat syurga dan diselamatkan daripada neraka.
4.Dicintai Allah s.w.t.
5.Diberi petunjuk dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan.
………..
Persoalannya sudahkah kita bertaqwa?? Orang yang bertaqwa akan sentiasa memelihara dirinya daripada semua batas dan hukum-hukum agama. Segala yang wajib dan sunat akan dilaksanakannya. Manakala segala yang haram dan makruh akan ditinggalkannya. Bukan itu sahaja, malah mereka sangat berpada-pada dengan segala yang halal kerana takut dihisab (diperhitung di akhirat kelak). Sebagaimana yang telah dikatakan oleh Saiyidina Ali r.a.: “Aku sangat berhati-hati dengan dunia kerana haramnya diazab, halalnya dihisab.”
Wallahu ‘a’lam.





Comments:

There are 4 ulasan for Artikel terbaik aku untuk pertandingan artikel junko

Catat Ulasan

Sila komen untuk penambahbaikan..