HISABLAH DIRI SEBELUM DIRI DIHISAB
Dicatat oleh alkhair | Label: Tazkirah | Posted On Jumaat, Februari 24, 2012 at 1:45 PG
Dalam zaman era globalisasi ini manusia berlumba-lumba mengumpul harta kekayaan demi untuk memenuhi kehendak dan keperluan hidup di dunia. Namun apa yang mereka cari adalah bersifat sementara dan tidak kekal. Seorang pekerja contohnya yang keluar rumah seawal pagi untuk mengelakkan kesesakan di jalan raya menuju ke pejabat dan sewaktu pulang terperangkap dalam kesesakan lalulintas mungkin tiba di rumah lewat petang dan kadang-kadang malam. Begitu juga seorang nelayan yang keluar rumah dengan segala kelengkapan; air laut, ombak, ribut menjadi rakan permainan. Pulang pada petang hari kadang-kadang membawa hasil tangkapan yang banyak dan kadang-kadang juga tiada. Begitulah kehidupan, bila ditanya untuk apa? Antara jawapannya pasti untuk memberi nafkah kepada keluarga.
Dalam Surah Al-Asr, Allah S.W.T. telah bersumpah dengan masa bahawa makhlukNya yang bernama manusia ini berada dalam kerugian. Apa sahaja yang mereka buat atau amalkan sama ada seorang yang bekerja di pejabat atau seorang nelayan sebagaimana yang saya ceritakan tadi ataupun sama ada manusia ini dari golongan yang terhormat dan berkedudukan tinggi sehinggalah golongan yang rendah, tua atau muda, lelaki atau perempuan; semuanya tergolong dalam golongan yang rugi. Tetapi dalam surah yang sama juga Allah S.W.T. memberi pengecualian daripada termasuk ke dalam golongan yang rugi ini iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan kepada kebenaran juga berpesan-pesan kepada kesabaran.
Rasulullah S.A.W. sangat risau akan dua nikmat yang Allah kurniakan kepada umat baginda iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. Dalam kesibukan manusia bekerja untuk memenuhi kehendak dan keperluan tadi adalah wajar menghayati serta melaksanakan pesanan Rasulullah S.A.W. berkenaan masa. Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu:
1. Masa lapang sebelum sempit
2. Masa muda sebelum tua
3. Masa kaya sebelum miskin
4. Masa sihat sebelum sakit
5. Masa hidup sebelum mati.
Dalam Surah Az-Zaariyat ayat 56, Allah S.W.T. telah menegaskan bahawa matlamat hidup manusia di dunia adalah semata-mata untuk beribadah dalam rangka mengabdikan diri kepada Allah. Jadi sepanjang kehidupan kita hanyalah untuk beribadah dalam kontek yang luas sama ada dari segi ibadah khusus atau ibadah umum seperti bekerja, bersosial, bersukan, bermusafir, makan atau minum dan sebagainya. Ringkasnya apa sahaja yang kita buat atau niat sejak dari bangun tidur sehingga kita tidur semula dalam kehidupan seharian perlu kita tanamkan dalam diri bahawa apa sahaja yang amalan soleh yang kita lakukan sepanjang hari hendaklah kita usahakan semata-mata untuk mendapat redha Allah jua. Agar kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi tadi.
Selain daripada itu, tujuan manusia dihantar ke atas muka bumi ini adalah sebagai khalifah yang akan memakmurkan bumi Allah dengan cahaya Islam. Dalam al-Quran telah dirakamkan kisah sewaktu Allah S.W.T. mencipta manusia. Malaikat bertanya, “Adakah tuhanku ingin menjadikan orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah di bumi? Sedangkan kami sentiasa bertasbih dan memujiMu.” Allah menjawab, “Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.” Kemudian Allah S.W.T. menunjukkan kepada Adam benda-benda di Syurga. Maka Adam menyebut satu-persatu nama-nama benda yang terdapat di Syurga. Bila ditanya kepada malaikat, mereka menjawab, “Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami kecuali apa-apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Sebagai kesimpulan, kehidupan kita di atas muka bumi ini hanyalah sementara dan akhirat adalah kekal abadi. Dalam keadaan yang sementara inilah sebenarnya kita perlu bijak mengambil peluang terhadap nikmat-nikmat yang Allah S.W.T. kurniakan kepada kita. Bagaimana?? Dengan menghayati dan melaksanakan segala perintah Allah serta menjauhi segala laranganNya. Juga mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. Kerana dunia adalah tempat bercucuk tanam dan akhirat adalah tempat menuai. Sebagaimana maksud hadis Nabi S.A.W. “Apabila mati seorang anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak yang soleh.”
Insya Allah, segala yang baik itu adalah daripada Allah dan yang kurang itu adalah daripada kelemahan diri kita sebagai hambaNya. Kita semua minta ampun kepada Allah. Semoga Allah terima amal soleh yang kita laksanakan. Wallahu’alam.